Sunday, November 9, 2014

Dulu Riuh Bunyi Suara Konduktor














TIKET...tiket...tiket...Kolumpur (Kuala Lumpur)...Kolumpur...Klang. Jeritan konduktor memanggil penumpang adalah situasi biasa boleh didengari di stesen bas terletak di Batu 14 Puchong lebih 25 tahun lalu.
Mungkin ramai tidak mengetahui bangunan lama yang tertera tulisan KL, Klang & Port Swettenham itu sebenarnya adalah stesen bas lama.
Lebih 50 tahun lalu, puluhan bas milik Syarikat Kee Hup Omnibus akan memenuhi bangunan stesen dan kiri kanan bahu jalan di laluan utama (berdekatan Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya Batu 14) sekarang.
Kini stesen bas itu hanya tinggal sejarah, tiada lagi hiruk-pikuk bunyi deruman enjin bas...tiada lagi suara konduktor bas terpekik terlolong memanggil penumpang untuk ke destinasi berbeza.
Yang tinggal hanya bangunan seni bina lama terukir perkataan dan tulisan Cina di bahagian atasnya, itu pun hanya beberapa huruf yang masih bersisa, ia kemudian diubahsuai dan kini dihuni peniaga makanan dan penjual bingkai gambar.
Bekas Ketua Kampung Batu 14 Puchong, Shaari Maun, 74, ketika mengimbas kembali nostalgia ‘kewujudan’ satu-satunya lokasi pengangkutan utama rakyat Puchong lebih 50 tahun lalu berkata, bangunan asal hanya sebuah pondok menggunakan atap zink.
Di pondok itulah, pemandu bas akan berehat sebelum menyambung tugas masing-masing membawa penduduk Puchong ke Kuala Lumpur, Klang, Port Swettenham (kini Pelabuhan Klang) dan Pulau Meranti.
Perubahan zaman menyebabkan syarikat bas membina bangunan batu yang lebih selesa untuk menyimpan bas-bas milik mereka.
Ketika usianya lima atau enam tahun, stesen bas itu sudah wujud, pernah dua kali bas milik syarikat tersebut dibakar komunis kerana menyangka ia milik British.
Pada awal penubuhannya, bas digunakan murid darjah 4 hingga 6 ke sekolah terletak di Petaling, ketika itu Sekolah Kebangsaan Puchong Batu 14 hanya menawarkan pendidikan sehingga darjah 3.
Menurut Shaari, hanya tiga bas disediakan syarikat itu pada tahun 1940-an. Dengan harga tiket 55 sen bagi orang dewasa dan 35 sen untuk pelajar sekolah, bas adalah pengangkutan utama kerana di Puchong ketika itu hanya seorang daripada keseluruhan jumlah penduduk yang mempunyai kereta.“Nak tak nak kena tunggu bas, tiada pengangkutan lain seperti sekarang, kalau terlambat bas akan tinggalkan kita, kalau dah malam perlu tunggu esok untuk ke Kuala Lumpur atau Klang,” katanya.
Stesen bas itu ditutup lebih kurang 20 tahun lalu apabila syarikat pengangkutan bas lain mengambil alih keseluruhan perjalanan dari Puchong dan mewujudkan lebih banyak destinasi.
“Bangunan lama masih ada di situ, mungkin pemiliknya sudah bertukar tangan beberapa kali. Generasi muda dan penduduk yang baru datang ke Puchong mungkin tidak tahu kisah di sebalik bangunan ditinggalkan,” katanya lagi.
Bekas konduktor, R Kumaresan, 44, yang ditemui memberitahu, dia sempat beberapa tahun bekerja dengan syarikat bas itu malah sanggup mengambil lesen untuk menjadi pemandu pada 1989.
Penduduk asal Puchong, L Subramaniam, 56, pula berkata stesen bas itu cukup terkenal dari zaman dia lahir di Kampung Batu 14 sehinggalah ditamatkan operasinya.
“Situ satu-satunya tempat orang Puchong tunggu bas. Mana boleh lupa, dulu keadaan di sini sangat sibuk, sekarang tiada lagi,” katanya.

Source: SinarHarian

1 comment:

Anonymous said...

Putra Prima forum does not seems to be active in recent. Hope to hear more from the folks here.