Buaya Puchong tiba di Zoo Melaka
MELAKA, Selasa - Buaya jantan berusia lebih 60 tahun yang dapat ditangkap di sungai berhampiran Kampung Seri Aman, Puchong, Selangor pada kira-kira jam 1.10 pagi tadi, tiba di Zoo Melaka, Ayer Keroh dekat sini, pagi ini. Buaya `Puchong' itu tiba dengan sebuah lori untuk diukur serta ditimbang di kawasan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Bukit Katil dekat sini, pada kira-kira jam 8 pagi. Sebuah kren pula terpaksa digunakan untuk menurunkan buaya itu dari lori apabila tiba di Zoo Melaka. Pegawai Veterinar Zoo Melaka, Razeen Mazlan Abdullah, berkata sepasukan tujuh pegawai Zoo Melaka dihantar ke Kampung Seri Aman selepas dihubungi Jabatan Perlindungan dan Kehidupan Liar (Perhilitan) Selangor pada kira-kira jam 7.30 malam tadi. Katanya, apabila tiba di kawasan berkenaan pada kira-kira jam 12.30tengah malam, pasukan itu bersama-sama dengan pegawai Perhilitan berusaha untuk menangkap buaya terbabit. "Buaya jantan ini yang dipercayai berusia lebih 60 tahun, cuba melepaskan diri apabila ditangkap tetapi akhirnya terperangkap juga dengan leher terjerut pada kira-kira jam 1.10 pagi," katanya. Bagaimanapun, katanya, buaya itu yang terlalu berat hanya dapat ditarik keluar dari sungai pada kira-kira jam 4.30 pagi. Buaya jantan itu sepanjang 5.6 meter serta lebar 1.1 meter adalah seberat 1,250 kilogram. Razeen Mazlan berkata, ini adalah buaya terbesar yang pernah ditangkap oleh pegawai Zoo Melaka. Katanya, buaya itu yang terlalu tua tidak mempunyai gigi lagi dan amat sesuai disimpan di Zoo Melaka. "Pihak zoo akan berusaha memberi buaya ini makan ayam kerana mudah ditelan saja. Buaya ini dianggarkan memerlukan kira-kira 125 kilogram ayam," katanya. Serentak itu, beliau berharap buaya itu akan dapat menjadi tarikan bagi Zoo Melaka untuk menerima ramai pengunjung.
Source : Berita Harian 26-03-1997
Buaya Puchong tertua diawet
MELAKA: Buaya Puchong, buaya terbesar dan tertua pernah ditangkap Mac lalu, mati Selasa lalu kerana kesukaran mengunyah makanan selain usia yang sudah terlalu tua. Pengarah Zoo Melaka, Nawaeyai Yasak, berkata Puchong mati dalam sangkarnya pada 17 Jun lalu. Beliau berkata, sejak dua minggu lalu pekerja zoo mendapati Puchong tidak begitu aktif dan selera makannya juga berkurangan. Menurutnya, pekerja terpaksa membuka rahang Puchong yang tidak bergigi untuk memasukkan tiga atau lima ekor daging ayam supaya dia tidak kelaparan. "Hasil bedah siasat yang dilakukan oleh pegawai veterinar, Dr Razeem Mazlan, mendapati tiga butir peluru berada dalam badan Puchong," katanya ketika dihubungi semalam. Bagaimanapun, Nawaeyai berkata, peluru dan beberapa bahan lain yang ditemui di dalam badan Puchong bukanlah menjadi punca kematian buaya itu yang dianggarkan berusia kira-kira 60 tahun. Menurutnya, tekanan perasaan kerana ditangkap manusia, masa yang diambil untuk dibawa ke Zoo Melaka disebabkan saiz dan beratnya badan begitu berat, mungkin menyebabkan kematiannya. Nawaeyai berkata, bangkai Puchong akan diawet dan dipamerkan supaya orang ramai yang tidak berkesempatan melihat Puchong sewaktu hidup,melihatnya. Puchong, yang beratnya 1,250 kilogram dan mempunyai ukur lilit tiga meter daripada spesies buaya tembaga, ditangkap di Kampung Seri Aman,Kilometer 22, Jalan Puchong Selangor, Mac lalu. Buaya itu adalah antara tiga ekor buaya lain yang dipercayai menghuni di sebuah kawasan lombong tinggal di kampung berkenaan. Sementara itu, Timbalan Kurator Muzium Negara, Amran Abdullah, berkata pada awalnya mereka berhajat menyelamatkan Puchong, tetapi gagal. "Berikutan buaya itu sudah mati, kita berhasrat mengawetkannya supaya orang ramai dapat melihatnya," katanya ketika ditemui di Zoo Melaka semalam. Amran berada di Zoo Melaka bersama dua lagi kakitangan Muzium Negarasejak dua hari lalu atas permintaan Zoo Melaka untuk membantu kerja-kerja pengawetan Puchong. Menurutnya, proses pengawetan itu mungkin menghadapi masalah kerana kulit Puchong yang begitu keras serta saiz badannya yang besar memerlukan ramai kakitangan untuk mengendalikannya.
Source : Berita Harian 22-06-1997
No comments:
Post a Comment